Penyelewengan Syiah di Malaysia

Penyelewengan Syiah di Malaysia

4

Kuliah Jumaat

syiah islam sesat

Kita telah dengar dan mengetahui beberapa siri serbuan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap markaz perkumpulan yang menganut fahaman Syiah. Fahaman Syiah telah lama diwarta dan difatwakan kerana bercanggah dan menyeleweng daripada Ahli Sunnah wal Jamaah di negeri-negeri seluruh Malaysia. Di Selangor, fatwa pengharaman Syiah telah dikeluarkan pada 14 Februari 1998 yang menyatakan bahawa;

“Fahaman dan ajaran Syiah adalah bercanggah dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fahaman dan ajaran ini perlu disekat keseluruhannya. Terdapat beberapa percanggahan di dalam fahaman tersebut sama ada dari sudut aqidah, syariah dan lain-lain”.

Syiah ialah satu mazhab yang mendakwa Saidina Ali sebagai pengganti Nabi Muhammad s.a.w yang sah dan lebih utama daripada para sahabat lain. Golonga Syiah merendah rendahkan kedudukan para sahabat Nabi s.a.w serta mengkafirkan mereka terutamanya tiga khalifah al-Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar R.A, Saidina Umar R.A dan Saidina Uthman R.A.

Ringkasnya, Syiah memperkatakan sesuatu yang tidak layak serta merendahkan kedudukan khulafa al-Rasyidin, para sahabat dan sebahagian isteri-isteri Nabi s.a.w. Inilah perkara pokok yang membezakan golongan Syiah daripada golongan-golongan Islam yang lain terutamanya Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ulama’ terkenal, Syeikh Sa’id Hawwa dalam sebuah risalahnya berkaitan Syiah menyenaraikan beberapa penyelewengan mereka. Antaranya ialah:

Pertama : Syiah percaya bahawa para imam mereka adalah maksum sehingga mengatasi Nabi dan bebas daripada dosa atau tidak berdosa. Menurut Syiah lagi, para Imam Syiah bebas daripada kesalahan, ghaflah (lalai) dan lupa sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja serta kedudukan imam itu mengatasi kedudukan kenabian.

Perkara ini menurut ulama Syiah adalah ijmak atau kesepakatan golongan terdahulu dan terkemudian Syiah. Oleh kerana itu para imam Syiah mempunyai kuasa mutlak dan hak serta pemilihan dalam menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Kedua : Syiah percaya bahawa al-Quran yang wujud di tangan kaum muslimin pada hari ini telah mengalami perubahan. Perkara ini diakui oleh ulama mereka seperti al-Kulaini dan Muhammad Baqir al-Majlisi dalam karangan mereka. Syiah mendakwa mereka memiliki al-Quran yang disebut sebagai “Mashaf Fatimah” dan ianya tiga kali ganda banyaknya daripada al-Quran yang kita miliki.

Ketiga : Syiah tidak mengiktiraf hadis-hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh kebanyakan para sahabat seperti Abu Hurairah R.A, Samrah bin Jundub R.A, Amr bin al-Ass R.A dan sebagainya. Menurut Syiah, umat Islam telah kufur selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w kecuali tiga atau empat orang sahabat iaitu al-Miqdad bin al- Aswad R.A, Abu Dzar al-Ghifari R.A dan Salman al- Farisi R.A. kerana mereka tidak berpegang dan tidak mempercayai hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat bahkan meletakkan hadis-hadis tersebut dalam kelompok hadis-hadis palsu. Syiah hanya menerima hadis-hadis yang diriwayatkan oleh ahli al- bait atau kerabat Nabi s.a.w sahaja. Sidang Jumaat

Dr. Musa al-Musawi, seorang yang dibesarkan dalam sebuah keluarga terhormat di kalangan masyarakat Syiah menulis sebuah buku mengajak para penganut fahaman Syiah pada hari ini untuk kembali memperbetulkan kepercayaan yang telah diselewengkan dan menyalahi pegangan Islam yang sebenar. Tegasnya, kebanyakan kepercayaan dan pengamalan Syiah pada hari ini adalah rekaan atau perkara yang diadaadakan oleh ulama serta pemimpin Syiah. Antara perkara yang ditegaskan oleh beliau ialah:

Pertama : Penganut fahaman Syiah mengamalkan taqiyyah atau berpura-pura. Ianya bermaksud melaksanakan sesuatu yang bersalahan dan berlainan daripada kepercayaan. Sebagai contoh penganut fahaman Syiah membawa batu atau tanah Karbala dan sujud di atasnya ketika solat di masjid penganut Syiah dan menyembunyikan batu tersebut ketika solat di masjid-masjid bukan penganut Syiah.

Kedua : Penganut fahaman Syiah mengadakan upacara perkabungan ke atas kematian Saidina Husain pada Hari Asyura, 10 Muharram dengan berdukacita meratap dan menangis kesedihan, memalu (memukul) serta menyeksa tubuh badan dengan rantai besi, benda tajam atau sebagainya.

Ketiga : Penganut fahaman Syiah mengamalkan Mutaah yang bermaksud kahwin kontrak atau sementara. Iaitu berkahwin dengan seorang perempuan atau lebih tanpa saksi dan tanggungjawab nafkah dalam tempoh beberapa jam, semalaman, seharian atau lebih. Mereka berpendapat bahawa kahwin Mutaah adalah diharuskan dengan syarat wanita itu tidak bernikah atau bermutaah dengan sesiapa.

Keempat : Penganut fahaman Syiah sujud di atas batu atau tanah Karbala yang dibawa oleh mereka ketika solat. Mereka juga menganggap wujudnya keberkatan daripada batu tersebut dengan menciumnya ataupun memakannya sebagai penawar menyembuhkan penyakit. Batu tersebut adalah cebisan tanah yang diambil daripada perkuburan Saidina Husain di Karbala.

Kelima : Penganut fahaman Syiah meninggalkan Solat Jumaat dengan alasan Solat Jumaat hanya wajib ketika wujud atau hadirnya Imam al-Mahdi. Namun, ketika ketiadaan Imam al-Mahdi, mereka boleh memilih sama ada melaksanakan Solat Jumaat atau melaksanakan solat Zohor. Umumnya, penganut Syiah meninggalkan solat Jumaat.

Keenam : Penganut fahaman Syiah mengamalkan jamak solat fardu iaitu Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak sama ada di dalam musafir atau tidak tanpa sebarang sebab. Walaupun ulama Syiah menfatwakan sunat hukumnya solat pada waktu-waktunya. Namun, dari sudut pengamalan mereka lebih mengamalkan jamak di antara dua solat, Zohor dan Asar dan Maghrib dan Isyak. Perkara ini boleh dilihat diseluruh tempat-tempat solat yang diurus oleh penganut-penganut Syiah.

Penyelewengan kepercayaan dan pengamalan Syiah yang berbeza daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah jelas. Syiah menafikan dan menolak al-Quran yang ada di tangan kita pada hari ini. Syiah menolak hadis-hadis atau riwayat-riwayat para sahabat besar Rasulullah s.a.w seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan lain-lain. Penganut fahaman Syiah mengamalkan amalan-amalan yang telah difatwakan bercanggah dengan ajaran islam yang sebenar oleh para ulama dan institusi-institusi Islam.

Hadis daripada Irbid bin Sariah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya aku telah tingggalkan bagimu agama yang jelas nyata dari sebarang kesamaran. Jelasnya diibaratkan gelap malam gelita seperti siang harinya. Sesiapa pun tidak akan tergelincir darinya selepasku melainkan mereka yang ditakdirkan binasa. Sesiapa yang hidup selepas itu akan melihat kekeliruan yang banyak sekali. Maka hendaklah kamu berpegang dengan apa yang telah kamu ketahui dari sunnahku dan sunnah khulafa’ rashidin yang terpimpin. Peganglah kepercayaan itu dengan teguh”. (Riwayat Ibnu Majah)

Hadis di atas menjelaskan bahawa Khulafa al-Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali adalah para pemimpin yang terpimpin dengan tunjuk ajar daripada Nabi Muhammad s.a.w. Begitu juga sekalian para sahabat, mereka adalah umat terbaik selepas kewafatan Baginda s.a.w. Justeru, kita sebagai muslim mestilah berhati-hati dengan kepercayaan, pegangan dan ideologi yang jelas menyalahi serta menyeleweng daripada perkara asas dalam ajaran Islam, apatah lagi yang telah diwartakan sesat, menyeleweng dan seumpamanya. Dalam menghadapi kemelut kepercayaan, para ulama adalah mereka yang berkelayakan untuk kita rujuk. Sesungguhnya Islam adalah agama yang jelas kebenarannya dan jelas juga batas-batas kekufurannya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 59:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Sekiranya kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”.

Kesimpulan khutbah yang dapat diambil pada hari ini ialah:

Pertama : Al-Quran dan al-Sunnah merupakan dua rujukan utama dan muktamad bagi seluruh umat Islam.

Kedua : Setiap ajaran, fahaman atau pegangan yang menyalahi perkara asas dalam Islam seperti menolak al-Quran dan al-Sunnah perlu dijauhi dan ditolak.

Ketiga : Fahaman Syiah telah difatwakan sebagai fahaman yang bercanggah dan menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Keempat : Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Mufti dan ulama bertauliah adalah mereka yang berkeahlian untuk dirujuk terhadap setiap ajaran, fahaman atau pegangan.

Kelima : Mendalami ilmu-ilmu Islam melalui ulama dan guru-guru bertauliah adalah sebahagian usaha menyelamatkan diri daripada terjerumus ke dalam ajaran, fahaman atau pegangan atau yang menyeleweng, salah dan sesat.

Keenam : Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku ketua agama negeri ini mengharapakan tiada rakyat Selangor menganut fahaman Syiah yang telah difatwa danwartakan menyeleweng.

“Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dialah yang beroleh petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi”. (Al-A’raf : 178)

sumber: emasjid.jais.edu

 

Share.

4 Comments

  1. Terima kasih byk2 kpd tuan blog sudi kupas pasal syiah yg mostly tak amik tau/mls amik tau sgt pasal asal usulnya syiah ni. Kt sbg umat Islam akh zaman ni, mmg akan di duga dgn perkara-perkara begini. Moga kt terus di bawah pegangan yg benar. Jgnla sesat dlm cahaya. In’syaAllah.

Leave A Reply