Kuliah Jumaat
Hadis daripada Ibnu Amr R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Ketahuilah bahawa setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya.” (Hadis Muttafaq Alaih)
Islam menegaskan tentang peranan dan fungsi setiap manusia sebagai pemimpin dan pengurus bagi segala urusan yang diamanahkan kepadanya. Kepimpinan adalah amanah meletakkan seseorang manusia itu sebagai calon ujian yang akan ditentukan kedudukan dan pencapaiannya di sisi Allah SWT .
Firman Allah SWT dalam surah Yunus, ayat 14:
“Kemudian Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan”.
Demi memastikan pengurusan dan kepimpinan yang mendapat penilaian yang terbaik di sisi Allah SWT, serta menyelamatkan kita dari kecelakaan di akhirat, kita hendaklah melengkapkan diri dengan persiapan
sebagai pemimpin. Persiapan yang paling diperlukan adalah ilmu pengetahuan, khususnya, ilmu yang berkait dengan peranan sebagai seorang pemimpin. Kita tidak sekadar mempunyai kemahiran teknikal dan pengurusan yang berkaitan dengan bidang kita sahaja. Ini kerana, kesudahannya kelak, kita bukan disoal oleh majikan, rakyat, ketua, juruaudit. Bahkan kita akan disoal oleh Allah yang mencipta kita dan yang meletakkan kita dengan tugas-tugas tertentu sebagai salah seorang manusia yang hidup bermasyarakat.
Khalifah Umar bin al-Khattab telah mengingatkan kita tentang perlunya ilmu sebelum menjadi pemimpin. Beliau menegaskan:
“Hendaklah kamu belajar menjadi faqih sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin”. (Riwayat Al-Bukhari)
Keperluan mempersiapkan diri dengan ilmu ini bukan sekadar untuk menjayakan kepimpinan dan manfaat umat sahaja. Bahkan, kita lebih kerap diingatkan tentang kehancuran dan kemusnahan yang berlaku adalah natijah daripada kejahilan manusia yang menjadi pemimpin.
Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.wbersabda;
“Apabila amanah dipersia-siakan, tunggulah saat kehancuran (hari kiamat)!” Badwi itu bertanya lagi: “Bagaimanakah amanah itu dipersiasiakan?” Jawab baginda: “Apabila diserahkan urusan kepimpinan kepada orang yang bukan ahlinya (tidak layak), maka tunggulah saat kehancuran (hari kiamat)”. (Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadis yang lain pula, baginda mengingatkan kita tentang bahaya terhadap ummah apabila mempunyai pemimpin yang jahil.
Daripada Abdullah ibnu ‘Amru ibnu Al-‘Ash R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu dengan mencabutnya dari (dada) hamba-hambanya. Tetapi Dia mencabut ilmu dengan mencabut (nyawa) para ulamak. Hingga bila sudah tidak ditinggalkan sesiapa lagi yang alim (berilmu), manusia melantik orang-orang jahil menjadi pemimpin. Bila mereka ditanya, mereka membuat keputusan tanpa ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain pula”. (Riwayat Al-Bukhari)
Jana RM1,000 Sebulan Dari Rumah Melalui Internet
Untuk menjadi pemimpin dan pengurus sesuatu perkara, manusia memerlukan ilmu. Seorang suami, perlu mengetahui ilmu tentang tanggungjawab suami, yang akan dipersoalkan oleh Alllah. Seorang pekerja perlu mengetahui kemahiran tentang kerjanya, juga hubungannya dengan agama. Kerana dia akan disoal oleh majikannya, juga oleh Allah SWT. Seorang pengurus syarikat perlulah mengetahui selok belok perniagaannya. Bukan lembaga pengarah sahaja yang akan menyoalnya, bahkan Allah SWT juga akan menyoalnya kerana Allah SWT lah yang telah mengurniakannya kedudukan sebagai pengurus.
Apatah lagi bila perkara yang diuruskan itu berkait dengan urusan orang ramai, urusan agama dan lain-lain, tentulah lebih besar lagi keperluan ilmu dan kefahamannya. Lantaran itu hendaklah kita takut dan bimbang, dan berusaha supaya tidak tergolong di kalangan pemimpin yang sesat dan menyesatkan seperti dinyatakan dalam hadis Rasulullah s.a.w tadi.
Sejarah telah mencatatkan bahawa generasi awal Islam telah memilih pemimpin mereka di kalangan orang yang berilmu dan memahami tanggungjawab agamanya. Lihatlah kepada para khulafa’ al-rasyidin yang mengganti Rasulullah s.a.w memimpin umat. Mereka adalah orang-orang yang paling alim di kalangan para sahabat. Demikian juga khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya itu, beliau juga seorang alim yang sangat memahami urusan dan hukum hakam Islam.
Dalam sejarah kita di negeri Selangor, sultan juga bukan sekadar mendampingi ulama’ dan cinta kepada ilmu agama. Mereka juga berkecimpung dengan ilmu agama, malah baginda juga terlibat secara langsung menjadi khatib dan imam. Contohnya Sultan Alauddin Sulaiman Shah, sultan Selangor yang ke 6 telah menulis 2 buah kitab “Pohon Agama” yang dijadikan buku teks di sekolah-sekolah agama ketika itu.
Ini menggambarkan kecintaan baginda kepada ilmu dan tahap keilmuan baginda dalam Islam. Sejarah juga merakamkan bahawa baginda sering menyampaikan khutbah Jumaat, khutbah hari raya di atas mimbar Masjid Alaeddin Kuala Langat.
Setiap umat Islam wajar mempersiapkan dirinya dengan ilmu agama, ilmu kepimpinan Islam serta ilmu-ilmu yang berkaitan bidang dan kerjaya yang dilakukan. Jika seorang sultan yang memimpin negeri masih berkesempatan untuk mendalami ilmu agamanya, mengapa kita tidak mencari peluang untuk melengkapkan diri kita pada zaman ini, zaman yang menyediakan segala kemudahan dan teknologi canggih untu mendapatkan ilmu pengetahuan daripada bahan-bahan bacaan, kuliah pengajian, mahupun capaian media baru seperti internet dan sebagainya.
Kesimpulannya, marilah kita sama-sama menghayati dan mengambil iktibar daripada khutbah pada hari ini.
Pertama : Bahawa pemimpin adalah amanah yang dipertanggungjawabkan di hadapan Allah.
Kedua : Bahawa seorang pemimpin bukan sahaja mahir dalam kepimpinannya tetapi perlulah berusaha untuk mendalami ilmu agamanya.
Ketiga : Sesungguhnya setiap muslim bertanggungjawab menjana kepimpinan yang amanah terhadap generasi yang akan datang.
“Sesungguhnya Kami telah mulakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanngup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”. (Al-Ahzab : 72)
Khutbah Jumaat JAIS


